MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004 |
Bersama Tarmizi Mohd Jam
Dapatkan terbitan isu “Memo: Umno 2000 Untuk Dijual?” di pasaran segera pada kadar harga RM4.80 sen senaskah atau emailkan pesanan kepada: isu_malaysia@hotmail.com |
Kesabaran ada hadnya. Sokongan juga ada tempatnya. Bukan semua “karenah” yang dihadapkan kepada kita perlu diterima dengan sabar. Dan bukan semua calon yang “ditunjuk” wajib disokong, ada tempat-tempatnya ia perlu ditendang. Beginilah nasib Megat Junid Megat Ayub yang terjun dengan labu-labunya di parlimen Parit, Perak.
Dalam pilihanraya lalu, tidak ada sejarah dan igauan buruk yang patut dikenang oleh anak Pasir Salak itu melainkan “kecundang” dalam aksi yang tidak ingin dilihat oleh Mahathir.
Entah kenapa agaknya, Mahathir “menukar” anak emasnya itu bertanding di Parit, sekalipun Megat sudah cukup bersedia dengan segala prasarananya untuk meneruskan kesinambungan khidmatnya di Pasir Salak.
“Saya tak kisah. Kalau Mahathir nak letak saya di mana pun saya ikut. Dari dulu lagi saya ni cukup setia dengan Mahathir,” ujar Megat selamba bila ditanya oleh seorang aktivis PAS Parit sewaktu bersalam dengannya pada hari penamaan calon di Pejabat Majlis Daerah Perak Tengah, Sri Iskandar.
Megat difahamkan telah mencetak berpuluh ribu baju T-Shirt yang memaparkan gambar beliau dan “Undilah BN” di Pasir Salak. Poster calon juga khabarnya siap dicetak beratus ribu jumlahnya, hanya menunggu “masa” untuk ditampal.
Tentu sekali juga, Megat tidak menjangkakan “permainan” politik dalaman melalui “tangan-tangan hantu” tidak menyangkut dirinya, apatah lagi beliau adalah “orang kesayangan” Mahathir. Mustahil, Mahathir akan “menurut” cakap orang lain dengan mengetepikan dirinya.
Ramli Ngah Talib yang dulunya ADUN Kg. Gajah dalam Parlimen Pasir Salak adalah Ketua Bahagian Umno kawasan itu. Megat hanyalah Timbalan kepada Ramli. Dalam pilihanraya 1995, nasib Ramli dikatakan telah diselamatkan oleh Anwar yang memang mempertahankan Ramli sebagai MB Perak. Berlaku sedikit “kelewatan” perlantikan beliau ke kerusi MB pada waktu itu, kerana berjalannya “sorong-tarik” politik yang dahsyat antara Anwar dan Mahathir.
Ramli tahu, nasibnya tidak sebaik itu selepas pilihanraya umum 1999. Sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri, beliau “meletakkan” dirinya untuk bertanding di parlimen. Gossip-gossip kedai kopi banyak memperihalkan “minat” Ramli untuk bertanding di parlimen Parit bagi menggantikan emak saudaranya, Ainon Khairiyah Abbas.
Sudah tentulah, percaturan itu mudah kerana “komplot” yang diatur bagi mengetepikan anak Parit sendiri bertanding di parlimen itu disusun sendiri oleh Ramli dan Setiausaha Perhubungan Umno Negeri, Zaim Abu Hassan yang juga Ketua Bahagian Umno Parit. Hubungan Zaim-Ramli begitu erat sekali. Zaim pernah duduk di bawah dagu Ramli sebagai Setiausaha Politiknya.
Ainon juga ditarik ke Parit adalah atas “komplot” yang sama. Ainon adalah Ketua Wanita Umno Pasir Salak tetapi diberi “nyawa baru” dalam politik, bertanding di Parit menentang Haji Subky Latiff dalam pilihanraya umum 1995. Inilah peranan yang dimainkan oleh Zaim sebagai Ketua Umno Bahagian Parit dan Setiausaha Perhubungan Umno Negeri.
Kebanjiran “orang Pasir Salak” ke Parit tidak membawa erti orang Parit tiada yang cerdik dan bijak. Mereka tidak lebih sebagai “orputunis” yang berlagak bijak dan pandai di tempat orang. Pada hal, jika diteliti, keupayaan dan kemampuan mereka dalam politik jelas tempang dan pincang. Mereka tidak ubah seperti “kembiri politik”. Sebelum mendapat “kuasa” bukan main hebat ideanya, pandangannya serta cadangannya, tetapi bila “berkuasa” terbukti semuanya itu palsu belaka.
Rupa-rupanya, Ramli tidak sebodoh Megat agaknya. Beliau tahu, “politik Parit” sejak Anwar dipecat, makin panas. Prestasi emak saudaranya sebagai Ahli Parlimen Parit ketika itu, agak “mengecewakan” dan orang Parit mula mempersoalkannya. Ainon boleh dianggap menunjukkan “batang hidung” setahun sekali kepada orang Parit. Kesibukannya sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Tanah dan Koperasi sering menjadi pendinding dirinya.
Akibatnya, Ramli menukar arah dan tempat. Pasir Salak tentunya pilihan pertama setelah Parit gagal diconggak kemampuannya. Sebagai Ketua Bahagian Pasir Salak dan Ketua Perhubungan Umno Negeri, Ramli bertindak dengan mudah untuk ke arah itu. Megat yang menjadi Ahli Parlimen Pasir Salak dan juga seorang menteri penuh, tidak payah untuk ditendangnya ke Parit sekalipun sebulan dua sebelum bubar parlimen, Megat disebut-sebut bakal bertanding di Dun Air Kuning, Kampar.
Lebih menarik lagi, cerita itu disedapkan pula dengan kisah “kununya” Mahathir amat berminat menarik Megat ke DUN untuk menggantikan tempat Ramli yang bakal dikosongkan kelak. Maknanya, Megat bakal MB Perak selepas pilihanraya 1999 itu.
Kekosongan tempat Ramli di Dun Kg. Gajah telah “tunjuk” sendiri oleh MB lurus bendul itu untuk Ainon yang kalau terus ‘berukubu” di Parit akan dirempuh olek PAS dengan lebih mudah. Bagi mengiyakan tindakan itu, maka Megat diposkan untuk menentang PAS di Parit pada saat-saat akhir. Ini dibuat bagi mengelakkan “sorong-tarik” Megat dengan Mahathir di peringkat atas.
Ramli dikatakan “bekerja kuat” menukar senarai calon itu dan ianya tidak ditentang oleh Mahathir kerana laporan prestasi Umno dan BN Parit amat membanggakan. Pendek katanya, BN Parit tidak mungkin tewas dalam pilihanraya itu.
Dua hari lagi, hari penamaan calon, sahlah Megat bertanding di Parit, Ramli pula di Pasir Salak. Sementara Ainon Khairiyyah di Dun Kg. Gajah. Laluan Ramli nampaknya “lapang sedikit” tetapi Megat sudah disebut-sebut oleh orang Parit bakal “dihanyutkan” ke Pasir Salak semula melalui Sungai Perak atas rakit batang pisang.
Hari penamaan calon, saya difahamkan ada “budak-budak BA” telah memacakkan poster Megat Junid atas “batang pisang” yang dijadikan rakit ringkas, kemudiannya dihanyutkan melalui Sungai Perak. “Budak-budak BA” ini menurunkan rakit itu di pinggir jambatan yang menghubungkan antara Bota Kanan dan Bota Kiri.
Beberapa pertemuan Megat dengan jentera pilihanraya BN di beberapa kampung, jelas menunjukkan “masa depan” politik Megat akan kelam. Kecaman, herdikan dan kutukan “berapi-api” disembur betul-betul pada batang hidungnya. Zaim selaku Ketua Bahagian Umno Parit bersama Timbalannya, Ismail Hasbullah “tersengih-sengih” sambil menyimpang “muka merah padamnya” dari ditenung oleh anak-anak buahnya.
Zaim bertanding di Dun Belanja, sementara Ismail pula di Dun Bota. Kedua-dua mereka calon bertahan dan anak tempatan di situ. Nasib mereka kurang baik, apabila “mengundang” Megat yang dianggap orang Parit sebagai “orang luar”. Faktor “orang luar” sebenarnya cukup banyak membantu kekalahan Megat.
Pada masa yang sama, Pemuda Umno Parit sudah yakin Ketua mereka, Ismail Kamarudin bakal calon Parlimen Parit. Bila mereka tahu, nama ketua mereka ditolak pada saat akhir, dan digantikan dengan Megat, maka kerja BA menjadi lebih mudah selepas itu.
Bagi Zaim dan Ismail agaknya, orang Parit tidak mungkin menolak “tuah” apabila calon yang diketengahkan seorang menteri penuh. Zaim dan Ismail tentunya berasa, akan menang lebih besar dari tahun 1995 dulu, kerana “berpayung” di bawah Megat. Berpayung di bawah Megat juga bermakna berpayung terus di bawah Mahathir!
Akhirnya, Ramli berada dalam keadaan selesa di Pasir Salak. Megat pula tercungap-cungap “mencari” arah dan “menangkis” sergahan ahli-ahli Umno Parit. Mat Abu (Setiausaha Peribadi Megat) yang terkenal “samsengnya” turut mengah mengendalikan “karenah biadap” jentera BN Parit.
Meletakkan Megat di Parit, bererti membuka “lembaran baru” bagi PAS kawasan itu. Usaha giat PAS yang dijalankan setahun secara drastic tanpa henti “mengasak” pemikiran rakyat tentang “kepincangan Umno” dan kaitan Megat dalam kumpulan konspirator yang mencantas Anwar, mendapat sambutan luar biasa. Pada masa itu, tidak siapa menduga Megat akan bertanding di situ.
“Mana ada kawasan Pas di Perak ni, yang buat ceramah selang sehari. Hampir tiap malam ada aje ceramah,” bisik seorang AJK Umno Bahagian Parit yang mula “mengalihkan” minatnya terhadap PAS bila mengetahui Megat bertanding di situ.
Megat tewas dalam senario yang beliau sendiri maklumi. Dia tidak pun hadir ke pusat pengiraan undi pada malamnya. Megat tewas ditangan Ustaz Basir Rahmat, ustaz pencen yang giat berkebun. Zaim pula menjangkakan BN menang dan tiba di pusat itu kira-kira antara jam 6.40—7.00 malam. Bila beliau tahu tewas ditangan Fadli Muhamad (PAS) dengan majority yang kecil, tiba-tiba dirinya hilang ghaib entah kemana. Ismail Hasbullah yang kalah ditangan Usaili Alias (KeADILan) hampir pasti tahu pada waktu itu kalah teruk.
Kira-kira jam 9.30 malam, sebuah ambulan Hospital Daerah Changkat Melintang “bergerak” melalui jalan bersebelahan pusat mengira undi dengan sirennya cukup kuat. Kata penyokong BA di luar pagar, “Cikgu Main (Ismail-lah tu) jatuh pengsan. Terpaksa bawak ke Ipoh”.
Sehinggalah pada hari Perhimpunan Agung Umno Mei lalu, Megat muncul bersama bukunya, Getek atau dalam bahasa Parit dan Pasir Salaknya, Getek itu bermaksud amat benci, amat sangat meluatnya, amat muak dan amat menyampah.
Insya-Allah esok saya akan ulas perihal ke-Getek-kan Megat terhadap Umno dan Mahathir seperti yang dicanaikannya dalam buku Geteknya itu. Rasanya, renungan tajamnya dan pandang tembus beliau terhadap Umno cukup banyak kebenarannya. Jika di analisis betul-betul, buku itu (Getek) boleh dikatakan telah “menginsafkan” dirinya dan sudah layak untuk Megat meninggalkan Umno dan mendekati PAS!
|